SEJARAH SUNGAI KESANG DAN KAMPUNG SUNGAI RAMBAI



( Coretan pena : Jaafar Kelana Al-Bugisi )


Sungai Kesang ialah garis pemisah dan menjadi sempadan diantara selatan negeri Melaka dan negeri Johor.
 Panjang nya sungai Kesang dikira dari muara nya ialah lebih kurang 35 km. Setiba nya di Tangkak ia berpecah dua, satu menjadi sungai Tangkak hulu nya di Gunung Ledang . Kampung kampung yang terdapat disini ialah Sialang, Tangkak, Pengkalan Besar, Seberang Gajah, Paya Mas, dan Sagil. Manakala satu lagi ialah sungai Kesang sendiri , hulunya juga di Gunung Ledang , kampung kampung yang terdapat disini ialah  Bekok, Dok, Chabau, Asahan, Gemeh dan Chohong. Kampung Chohong telah dibuka lebih awal ia itu kira kira dalam tahun 1700 olih masyarakat Minangkabau dari Pagar Ruyung Batu Sangkar Sumatera setelah terdengar berita dikaki gunung Ledang terdapat banyak emas.




      Lakaran peta lama yang dibuat olih Portugis dalam tahun 1604 berkenaan dengan Sungai Kesang " Rio De Casan " (Sungai Kesang )
                                                

Orang orang Minangkabau ini telah memudiki Sungai Kesang dengan perahu layar besar setelah menempoh ombak dan badai dilaut . Orang orang Minangkabau ini membuka penempatan disebelah kiri tebing  sungai Kesang didalam perintah Melaka, disatu kawasan berbukit disini lah merika berhuma untuk makanan harian. Pada siang hari orang laki laki akan memudiki Sungai Kesang untuk mendulang emas dikaki gunung Ledang. Tidak hairan lah sehingga sekarang didaerah Jasin wujud nya komunitas Minangkabau  masih  mengamalkan adat Perpatih.  Nama asal Kampung Chohong ialah  "Lidah Tanah". Menurut cerita , sebelum tempat ini dinamakan Chohong,  ada sebuah kapal dagang China dari Melaka bernama Chu Hong berulang alik menggunakan sungai Kesang membeli hasil hasil tani , saperti lada hitam, gambir , damar, rotan dan pinang kotai. Kapal ini juga disebut orang kapal ulu. Apabila kapal ini sampai , maka berduyun duyun lah penduduk kampung datang dengan membawa hasi hasil tani nya , seraya berkata :  " aku hendak pergi kekapal Chu Hong". Lama kelamaan sebutan itu kekal sebagai Chohong sahaja.





                                                      Sungai Chohong










                                         

                                     Makam lama orang Minangkabau di Chohong Jasin Melaka


Diawal pembukaan nya diantara muara sungai Kesang membawa ke daerah pendalaman nya dan terletak disepanjang sebelah kiri tebing mudik ke hulu lebih kurang tiga km dari muara , itu lah kampung Sungai Rambai .Dahulunya terdapat sebatang anak sungai kecil  dan sebatang pokok rambai hutan yang tumbuh disitu , dan tempat ini sekarang telah di bangunkan dan menjadi taman rekreasi. Ia mula dibuka lebih kurang dalam tahun  1790 olih masyarakat Bugis ,  yang datang dari kepulauan Riau , akibat pergolakan diantara Riau dan Kompeni Belanda.

Manakala disebelah kanan nya dikenali sebagai kawasan Kesang daerah Ledang. Sungai nya yang dalam dan berliku liku sangat sesuai dan menjadi penghubung penting pada masa dahulu bagi orang orang yang di hulu  dan pendalaman saperti Pengkalan Besar, Telok Rimba, Tanjung Gelenggang, Tanjung Gelugur , Tanjung Rambai, Telok Gong, Kesang Tasik dan kampung Sungai Rambai sendiri , hilir mudik untuk memasarkan hasil hasil tani ke Muar, Melaka, Bengkalis, Siak dan kepulauan Riau.

Dikiri kanan tebing sungai Kesang dipenuhi dengan pokok pokok bakau , api api, berembang, dan disulami dengan pokok pokok nipah , sekali gus menjadi penghadang daripada angin monsun ganas untuk pedagang pedagang dan nelayan menggunakan tongkang dan perahu besar berlindung sambil membuat aktiviti dan pertukaran barang (System barter), dan menambahkan bekalan air tawar dan kayu api sambil menunggu pertukaran angin untuk meneruskan pelayaran seterusnya.

Maka jelas lah bahawa sungai Kesang ialah sebatang sungai yang amat penting dan tersohor sejak abad ke 13 lagi. Bagi pedagang pedagang dan nelayan yang masih berada dilaut akan berpandukan banjaran gunung Ledang , kebiru biruan sebagai pedoman untuk memudiki muara sungai Kesang , seterus nya singgah di pengkalan pengkalan yang berjejeran baik disebelah Melaka mahu pun disebelah Johor , dan seterusnya bermalam di Pengkalan Besar. Disini terdapat perkampungan Melayu dikenali sebagai kampung Bahap. Asalnya ialah sempena sebuah ladang kepunyaan  seorang berbangsa China bernama BAN HAP, tetapi kini telah dinamakan kampung Parit Dahalan.



 
Sekolah kebangsaan Pengkalan Besar Tangkak





     Lokasi asal Pengkalan Besar


SUNGAI KESANG DIZAMAN KESULTANAN MELAKA

Dizaman kegemilangan kesultanan Melaka , sungai Kesang digunakan olih wakil wakil sultan untuk memeriksa dan memantau penduduk penduduk didalam peganganya jika terdapat apa apa masaalah yang hendak disampaikan titah raja. Diceritakan juga sungai Kesang pernah digunakan olih Hang Tuah dan sahabat nya berperahu dari Melaka mudik kehulu , untuk berguru kepada Adi Putra  di gunung ledang. Begitu juga dizaman Sultan Mahmud Shah 1 , rombongan peminangan yang diketuai olih Tun Mamat , juga menggunakan sungai Kesang untuk meminang puteri gunung ledang.

Setelah kejatuhan Kerajaan Melaka ke tangan Portugis pada 24 Ogos 1511 , kesultanan Melaka telah berpusat ke Bentan di kepulauan Riau . Didalam sejarah Johor ada menceritakan:
Pada tahun 1521, dari Bentan Sultan Mahmud telah menghantar lagi angkatan perang nya untuk menyerang Portugis di Melaka. Beberapa ekor gajah sultan yang tinggal dikandang gajah  (Batu Gajah) yang dijaga olih penghulu gajah (Datuk Seri Rama ) dibawa bersama untuk merempuh pintu kota A' Farmosa yang kukuh itu.







                                       Lukisan menggambarkan  rakit khas membawa gajah


Lakaran peta lama yang dibuat olih VOC tentang kandang gajah Sultan Melaka  , menunjukan sebagai " Elephant cage " ( Kandang gajah )  lokasi nya berhampiran : " Gadong hill "  ( Bukit gadong )  bersebelahan dengan  " Sabatto "  ( Kampung Sebatu ) di Sungai Rambai Melaka . Disini juga terdapat " Cassang river " ( Sungai Kesang ) laluan penting hingga sekarang. Semasa kegemilangaan kesultanan Melayu Melaka disini ialah tempat melatih gajah gajah liar diketuai olih penghulu gajah bergelar Seri Rama , sebelum gajah gajah ini dihantar ke Melaka sebagai gajah tempur menggunakan rakit khas melalui sungai Kesang.





SUNGAI KESANG DIZAMAN KESULTANAN JOHOR

Dalam tahun 1855 , jajahan Kesang  telah dikuasai olih Sultan Ali Iskandar Shah  Ibni Sultan Husin Shah didalam satu perjanjian , manakala Temenggong Ibrahim (Daeng Ronggek) memerintah Johor sepenuh nya. Satu lagi peristiwa yang melibatkan orang orang Bugis dikawasan ini ialah , mengenai seorang Panglima Bugis yang terkenal berjawatan  "Sulewatang " dalam bahasa Bugis Sulewatang itu sebagai wakil Sultan jika Sultan tidak punya kesempatan ( Sule >> Ganti, Watang >> Batang tubuh =  Sulewatang >> Pengganti batang tubuh raja  Raja . Nama sebenar Sulewatang ini ialah " Daeng Hitam " berketurunan Bugis Luwu, manakala gelaran nya dikalangan masyarakat setempat ialah Panglima Laboh , makam nya ada ditepi Sungai Kesang . Panglima  Bugis ini berkhidmat dengan Sultan Ali Iskandar Shah yang memerintah Jajahan Kesang, bagi memungut cukai  keatas penduduk penduduk kawasan Kesang dan Sungai Rambai dengan keras  diantara tahun 1855-1875. Peristiwa Sulewatang   ini berlaku , lebih 150 tahun terkemudian dengan kedatangan orang Minangkabau yang membuka Kampung Chohong.

Panglima Bugis ini dan orang orang nya telah membina kubu dikampung Chohong   di hulu sungai Kesang. Pada 23 September 1875 Resident Councillor Melaka, Kapt MacPherson telah datang mengikut jalan darat melalui Air Molek , Bukit Cermin , Air Panas dan Cabau untuk  menemui panglima Bugis ini  dan pengikut nya  di kampung itu , untuk berbincang berkaitan peristiwa rompakan yang menjadi jadi di kawasan Kesang dan Sungai Rambai, berkemunkinan dilakukan olih merika. Kubu di Chohong  itu berhampiran dengan kampung Bekoh, jauh nya kira kira 10 km dari Tangkak. Olih kerana perbincangan menemui jalan buntu, akhirnya pihak British telah mengarahkan menyerang kubu Dok. Sulewatang  @ Panglima Laboh dan pengikut nya  dapat  meloloskan diri.



                                              Peta Kampung Dok



Makam Sulewatang @ Daeng Hitam @ Panglima Laboh di tepi Sungai Kesang
                                       
            
Didalam buku Sejarah ringkas Muar yang ditulis olih Datuk Hj Abd Syukur bin Ismail ada menceritakan , perihal sungai Kesang pernah dilalui kapal api pihak British. Pada 09 july tahun 1877 pukul 3 petang selepas menghadiri upacara pemakaman Al-Marhum Sultan Ali Iskandar Shah di Umbai Melaka, J Douglas (pemangku Gabenor negeri negeri selat ) dan CJ Irving ( ketua audit negeri negeri selat ) telah bertolak dari Melaka dengan kapal api bernama Pluto, telah memudiki sungai Kesang , hendak menguji kedalaman nya. Selepas itu beliau terus balik ke Singapura.

Dalam perang Jementah pada tahun 1879 pengikut pengikut Tengku Alam yang diketuai olih Tengku Nong telah menggunakan sungai Kesang untuk menghantar keperluan keperluan perang kepada orang orang nya yang berkubu dikawasan terbabit bagi menentang pasukan Sultan Abu Bakar Johor.


SUNGAI KESANG DIMASA KINI




Dalam tahun 1970 an pihak kerajaan telah membina satu empangan di sungai Kesang untuk menampung air ke loji penapisan di Kesang dan juga untuk mengelakan dari berlaku nya banjir apabila air pasang besar. Seterusnya projek meluruskan Sungai Kesang telah dijalankan dan ini menyumbang sedikit sebanyak kepupusan habitat udang udang galah yang memang terkenal sejak dulu zaman berzaman . Kini sun gai Kesang telah lesu, air nya telah cetek dan berlumpur aktiviti aktiviti air hanya dapat dilakukan dari muara setakat empangan sahaja. Semoga sungai Kesang menjadi kenangan untuk generasi kini dan akan datang , yang mana dimasa lalu memang terkenal dengan buaya nya yang ganas, walau ranting kayu jatuh ke air pun tetap disambarnya. Khidmat pawang buaya tidak diperlukan lagi dan dimanakah pergi nya si Bujang Jambu yang penuh misteri.

Sungai Kesang air nya tenang
Banyak berlabuh perahu Bugis
Jangan kau sangka  hati ku senang
Dalam ketawa aku menangis




7 comments:

Unknown said...

terbaik

Unknown said...

assalam....terima kasih memberi info kpada kami...

farra said...

sumber dari mane ye?

Unknown said...

Minang ada sejarah dimelaka

Hilmi said...

alhamdulillah

ada tapi tiada said...

assalam... boleh sy mendapat perkisahan lebih lanjut mengenai Kesang ini?

Anonymous said...

sye yg asl sg rambai..ade dgar cite..asl atuk kmungkinan bugis..kini dknali melayu melaka.

Post a Comment